Thursday, April 15, 2010

Pohon Kaktus Yang Hebat Itu.…


Semalam kususuri kakilima yang sama yang sering kulalui dalam perjalanan menuju ke kutubkhanah. Daun-daun tingkap menjulur keluar sepanjang aku melangkah melewati bilik guru. Ada ruang tepi tingkap yang dihias indah sementara beberapa yang lain terbiar suram seperti tidak dihiraukan. Sepohon kaktus besar yang menghiasi salah satu jendela menarik perhatianku lantaran keunikannya. Kelihatan begitu gah dikelilingi pepohon kecil berwarna oren .

Kaktus memang terkenal sebagai tumbuhan yang tahan lasak. Itulah sebabnya ia mampu bertahan di kehangatan padang pasir. Dengan akarnya yang panjang, ia tumbuh subur dengan mencari sumber airnya sendiri nun jauh di bawah tanah. Bersendirian di padang tandus gersang, si pohon kaktus tetap kukuh utuh dilanda ribut pasir yang sentiasa mengubah corak dan bentuk bukit serta lembah pasir.

Namun hari ini, pohon kaktus itu nampak berbeza. Begitu jelas kelihatan ia tidak bermaya ibarat pucat lesi. Kelayuan menghiasinya dan ia seakan menuju hari-hari akhirnya. Tiada lagi anak-anak pohon kecil yang tumbuh disekelilingnya dan tanah yang didiaminya begitu tandus dan kering. Baru aku perasan yang tuanpunya kaktus telah hampir tiga minggu tiada di pejabat. Mungkin atas urusan kerja…

Apa yang berlaku terhadap kaktus yang malang ini membuatku berkata pada diriku, “Pohon ini seharusnya gagah dan mampu hidup bersendirian. Tapi mengapa kini semakin layu? Ibarat menuju kepenghujung hidupnya. Semuanya gara-gara ditinggalkan seketika oleh sang Professor. Kiranya terus dibiarkan begitu sendirian, hampir pasti ia akan mati kekeringan. Kalaulah sang Professor sedikit prihatin, tentu saja dia boleh meminta tolong salah seorang rakan untuk melihat pokok kaktus tersebut sepeninggalannya. Sekurang-kurangnya untuk disiram seminggu sekali....”

Lantas aku menoleh kebelakang dan terus aku sedari bahawa segagah manapun seseorang itu didunia ini, dia masih memerlukan belaian dan perhatian untuk dia meneruskan kehidupan. Terabai dan dilupakan merupakan satu kepedihan dan penyiksaan. Ia mampu menyebabkan seseorang itu hilang arah tujuan. Untuk mematahkan semangat yang utuh memang agak sukar namun disana tetap ada hadnya. Kiranya telah sampai ke tahap itu, dia tidak akan menghiraukan segala yang lain hanya semata-mata untuk mendapatkan suatu yang bernama perhatian. Harta, kesihatan dan segala apa jua benda didunia ini tidak akan bererti buatnya. Semua itu tidak ada makna andai dia tidak punya sesiapa yang mengasihi dan mengambil tahu perihal dirinya…

Ayuh, mulakanlah dari sekarang. Hargailah rasa kasih yang dicurahkan padamu. Balaslah ia. Mungkin anda melihat dia sebagai seorang insan yang kuat semangat dan perasaannya namun dia tidak akan terus hebat begitu selamanya tanpa belaian kasihsayang. Satu hari nanti, insan itu mungkin hanya tinggal kenangan. Pada ketika dan saat itu, kisah sepohon kaktus akan terbayang diruangan matamu. Jangan sampai anda menyesal tidak kesudahan kerana sebenarnya anda sepatutnya mampu untuk melakukan sesuatu buatnya....

Hasil nukilan Nurzaiti Hamdan untuk Top-up Iman Anda

Sunday, April 11, 2010

Berkongsilah pengalaman untuk kebaikan bersama....


Salam~
Sebagai seorang Islam, kita sentiasakan memerlukan peringatan dan nasihat dari masa ke semasa. Kebanyakan dari kita mendapat mutiara2 peringatan tersebut melalui pengalaman pahit manis kehidupan.

Blog 'Top-up Iman Anda' ini dihasilkan untuk memberikan satu ruang perkongsian pengalaman sama ada yang dialami sendiri atau pengalaman orang lain yang berkaitan dengan anda.

Dari itu, jika anda mempunyai cerita2 pendek (antara 200 ke 300 patah perkataan) pengalaman hidup yang ingin dikongsikan, yang mempunyai pengajaran kecil mahupun besar, yang boleh memberi peringatan kearah peningkatan iman, anda dialu-alukan untuk menghantar cerita anda disini.
Cerita2 yang sesuai akan dipaparkan dan insya-Allah kami akan memberikan token berupa barangan HPA buat mereka yang ceritanya berjaya dipilih. Sila emelkan kepada arissipan@gmail.com.

TQ

Aris Sipan
Coordinator
Siri Top-up Iman Anda